Wednesday, April 21, 2010

Perlukah Anda Memiliki Kad Kredit?

KAD kredit seakan menjadi ukuran kejayaan individu. Semakin banyak kad kredit yang dikumpul semakin tinggi pandangan rakan terhadap anda lebih-lebih lagi jika kad anda berwarna platinum! Semuanya kerana mereka beranggapan anda mempunyai kewangan yang stabil dan tidak mempunyai masalah memohon kad kredit dari mana-mana institusi kewangan.

Tapi benarkah begitu? Atau ia hanya membantu anda menambah hutang? Pernahkah anda memikirkan sebab sebenar anda memiliki kad kredit? Adakah kerana ianya suatu kemudahan? Suatu alat untuk kelihatan “cool”? Atau hanya kerana ingin mendapatkan barangan yang diberi percuma jika permohonan anda berjaya? Penulis mempunyai kenalan yang memohon kad kredit untuk mendapatkan barangan percuma!

Keputusan untuk memiliki kad kredit ataupun tidak sebenarnya bergantung kepada tujuan penggunaan dan bagaimana anda mengawalnya. Di bawah ini digariskan beberapa kebaikan dan keburukan mempunyai kad kredit. Diharap anda dapat menilai kedua-duanya sebelum mengisi borang permohonan kad kredit!


Kebaikan mempunyai kad kredit

* Membeli barangan dengan mudah
Anda kekurangan wang tunai di tangan? Jangan bimbang, kad kredit boleh membantu anda membeli barangan yang diingini tanpa perlu bersusah payah berbaris di bank untuk mengeluarkan wang di samping menjimatkan masa anda yang berharga.

* Berhutang tanpa faedah
Kad kredit membenarkan anda berhutang tanpa perlu membayar faedah. Kebanyakan institusi menawarkan kemudahan ini dari 25 hari ke sebulan untuk anda melangsaikan hutang sebelum faedah dikenakan.

* Mendapat keselamatan tambahan
Kad kredit juga menawarkan keselamatan tambahan seperti melindungi anda dengan insurans perjalanan jika anda membeli tiket kapal terbang menggunakan kad kredit berkenaan. Ia juga melindungi anda daripada kerugian harta benda jika barangan yang anda beli menggunakan kad kredit mengalami kerosakan atau kehilangan.

Keburukan mempunyai kad kredit

* Berbelanja sewenangnya
Kadangkala mempunyai kad kredit menggalakkan anda berbelanja kerana anda hanya perlu menurunkan tanda tangan untuk memperoleh sesuatu barangan! Selalunya menurunkan tanda tangan setiap kali membeli barangan akan menjadi amalan biasa dan tanpa sedar, anda berjaya mengumpul sejumlah hutang dan seterusnya terpikul dengan tanggungjawab membayarnya. Anda hanya akan menyedari perangkap ini bila anda bergantung kepada setiap sen yang ada untuk membayar bil bulanan atau anda terpaksa berjimat untuk membeli barangan yang diingini.

* Terperangkap dalam faedah
Anda juga mungkin terperangkap dalam pembayaran faedah yang sememangnya tinggi! Sesetengah syarikat kad kredit mengenakan faedah sebanyak lima belas peratus, malah ada yang tinggi daripada itu. Jika anda terus menerus mempunyai lebihan hutang kredit setiap bulan, akhirnya anda akan membayar hutang berkenaan lebih lama daripada sepatutnya, hanya disebabkan pembayaran faedah!

* Pemalsuan kad kredit
Setiap kali anda melakukan pembelian dengan kad kredit, setiap kali itu juga anda meletakkan diri anda dalam risiko terhadap gejala ini. Ini berlaku kerana tanpa disedari anda memberi maklumat sulit setiap kali kad kredit anda dibaca oleh mesin pemprosesan. Jika maklumat berkenaan jatuh ke tangan orang yang tidak bertanggungjawab, maka ianya boleh digunakan untuk membuat pembelian tanpa kebenaran. Akibatnya, anda terpaksa menanggung hutang pembelian yang anda tidak lakukan.

Kes seperti ini banyak kedengaran apatah lagi dengan pembelian kredit melalui internet. Tetapi, harus diingat! Insiden-insiden ini tidak seharusnya menghalang penggunaan kad kredit, baik secara konvensional mahupun “on-line”. Cuma, anda dinasihatkan berhati-hati setiap kali menggunakannya.

Rumusannya, keputusan untuk menjadi pemegang kad kredit ataupun tidak, bergantung kepada bagaimana anda menggunakan kemudahan kad kredit secara positif. Adalah lebih baik jika anda mampu mengelakkan diri daripada berhutang atau menetapkan kadar maksimum hutang yang anda mampu bayar. Bagi mereka yang berkeyakinan mempunyai disiplin mengawal diri dan mengelakkan diri daripada belenggu hutang, maka kad kredit adalah suatu pilihan yang menarik. Jadi pastikan anda mempunyai disiplin yang kuat mengawal perbelanjaan anda!

No comments:

Post a Comment